top of page

These articles published in the Malay language

Keseronokan bermain jeram deras di Sungai Sedim

Oleh Zubir Mohd Yunus - April 17, 2016

​

SEKIRANYA anda seorang pengembara aktiviti lasak yang baru berjinak-jinak mengenali sukan ekstrim, berakit meredah arus deras atau aliran jeram sungai, lebih popular dikenali sebagai "white water rafting", Sungai Sedim di Kulim, Kedah adalah antara pilihan yang tepat.

​

Terletak di Sungai Sedim Nature Park berhampiran Hutan Lipur Sungai Sedim, aktiviti lasak ini turut memberi cabaran dan rintangan kepada mereka yang bertaraf profesional. Ini kerana Sungai Sedim sepanjang 16 kilometer (km) yang dilingkari kira-kira 24 jeram 'ganas' itu mempunyai tahap kesukaran atau gred bermula satu hingga empat.

 

Justeru, Sungai Sedim yang mengambil masa perjalanan kira-kira 30 minit dari pekan Kulim sangat sesuai untuk mereka yang baharu kali pertama mencuba aktiviti ini mahupun golongan profesional apabila ia mampu memberi pengalaman yang mendebarkan. Sungai berarus deras lazimnya digredkan menggunakan sistem antarabangsa yang merangkumi kelas satu hingga enam iaitu tahap selamat sehinggalah mampu mengancam keselamatan.

​

Dua jam melengkapkan ekspedisi

​

Sungai Sedim mempunyai 24 jeram berarus deras dan 'ganas', antaranya dikenali dengan nama Salak Drop, Triple Rapid, Kasai Drop, Wall Drop, Lower Head Dam, Kawah Rapid, Jelutong Rapid, Rodeo Rapid, Slip Lip Rapid dan Cyclone Hole. Semua jeram ini boleh membuatkan gementar, jantung berdegup kencang!

 

Justeru, peserta adalah disarankan mendengar setiap arahan daripada jurumudi atau skipper yang bertauliah. Bagi penulis, pengalaman menyertai ekspedisi berkayak di arus deras di Sungai Kampar, Gopeng, Perak pada tahun lalu, sedikit sebanyak membantu menghilangkan perasaan gementar.

 

Keseronokan dengan aktiviti ini membuat penulis berasa teruja untuk menjayakan white water rafting di Sungai Sedim selama dua jam bagi melengkapkan ekspedisi sejauh tiga km. Selesai diberi taklimat ringkas di tebing sungai, penulis mengenakan pakaian sesuai, selain itu barangan berharga tidak digalakkan dibawa bersama ketika menyertai ekspedisi ini kecuali jika menggunakan beg kalis air untuk menyimpan dompet, telefon pintar dan sedikit makanan ringan serta sebotol air mineral sebagai bekalan di pertengahan jalan.

 

Jika membawa kamera, pastikan ia tahan lasak, kecil dan kalis air.

 

Info Tambahan

​

Gred kederasan sungai

​

  • Kelas 1: Tiada jeram atau aliran air sungai tenang

  • Kelas 2: Jeram sederhana, sesuai untuk kanak-kanak dan mereka yang mencari pengalaman

  • Kelas 3: Jeram lebih besar, memerlukan sedikit kemahiran tetapi kurang berbahaya

  • Kelas 4: Jeram deras, memerlukan lebih teknik dan pengalaman

  • Kelas 5: Jeram sangat deras, berliku dan khas untuk mereka bersemangat kental sahaja

  • Kelas 6: Tahap paling ekstrim, hanya mereka yang cukup terlatih, profesional

​

Sedim3.png
Sedim2.png
Sedim1.png
telegram subscribe.png

For more info, fastest news, latest updates and instant deal promo !

Subscribe to our Telegram Channel.

All Rights Reserved |

© 2022 by Media Unit of Hikers Climber Adventure Team

bottom of page