top of page

These articles published in the Malay language

Cabaran Ulu Geruntum

Oleh Zubir Mohd Yunus - April 3, 2016

​

Melihat aliran Air Terjun Ulu Geruntum di Gopeng, Perak, ia pastinya menjadi destinasi idaman kepada pengembara atau pencinta sukan lasak. Kederasan airnya memang memberikan cabaran menyeronokkan bagi melakukan aktiviti abseiling atau menuruni air terjun dengan tali. Perjalanan dari pekan Gopeng, Perak ke Kampung Ulu Geruntum sekitar tujuh kilometer saja. Perjalanan selorong berliku menuntut pemanduan penuh cermat, selain menyajikan pemandangan hutan tebal dan ladang kelapa sawit di kiri dan kanan jalan.

Kita akan melalui Gaharu Tea Valley setibanya di Jalan Kampung Sungai Itek iaitu ladang penanaman teh gaharu yang menjadi produk angro pelancongan di Perak.

​

Paip besar Gopeng

​

Penulis tertarik dengan deretan tinggalan batu konkrit penyokong tapak Paip Besar Gopeng yang digunakan ketika zaman pemerintahan British suatu ketika dulu. Paip berkenaan pernah menyalurkan air untuk aktiviti perlombongan bijih timah di Gopeng pada tahun 1908. Paip Besar Gopeng sepanjang 15 kilometer ini menghubungkan sumber air dari Ulu Geruntum dan Ulu Geroh dengan kawasan perlombongan di Gopeng. Sejak 21 Julai 2010, kerja merobohkan batang paip dan penyokongnya dilakukan selepas ia tidak lagi berfungsi sejak harga bijih timah jatuh dan perusahaan itu dihentikan sepenuhnya, selain sering berlaku kecurian. Kini yang tinggal hanyalah batu konkrit penyokong tapak yang boleh dilihat hampir di sepanjang jalan menuju ke Kampung Ulu Geruntum.

​

Rumah rehat Benih Sa

​

Setibanya di Kampung Ulu Geruntum iaitu perkampungan Orang Asli suku kaum Semai, anda dapat melihat beberapa blok rumah rehat yang dinamakan Benih Sa Chalet diusahakan oleh pasangan suami isteri Orang Asli di situ iaitu Bah dan Sona. Pengembara lasak atau pelancong yang bercadang melakukan aktiviti ekstrem di sekitar hutan simpan di situ, lazimnya menginap di chalet berkenaan. Sebaik saja penulis melangkah keluar dari kenderaan, kedengaran deruan air terjun yang amat 'menggerunkan'! Pasti anda tertanya-tanya kenapa bunyinya sangat kuat? Hanya perlu berjalan kaki kira-kira 10 minit ke dalam hutan di tepi chalet berkenaan, Air Terjun Ulu Geruntum sudah menanti kedatangan pengunjung!

​

Keindahan yang mempersonakan

​

Keindahan Air Terjun Ulu Geruntum begitu memukau pandangan.

Berdasarkan cerita daripada pemuda Orang Asli yang ditemui, kederasan Air Terjun Ulu Geruntum daripada tingkat atas hingga ke lantai dasarnya adalah sekitar 60 hingga 70 kilometer sejam. Ketinggian Air Terjun Ulu Geruntum sekitar 15 meter saja, tapi yang menggerunkan adalah kederasan simbahan airnya. Sangat ganas, simbahan air terjunnya yang menyembah dasar bumi umpama salji runtuh dari teping tinggi. Buih-buih halus memutih yang membuak-buak jatuh ke bawah menghasilkan percikan air halus sehingga membasahi lensa kamera yang merakamkan momen indah itu. Pemandangannya begitu mempesonakan, jiwa anda pasti dibelai dengan keindahan alam semula jadi ciptaan Tuhan. Sebenarnya Air Terjun Ulu Geruntum adalah syurga kepada pencinta aktiviti ekstrem iaitu waterfall abseiling atau menakik batu, menuruni cerun curam tebing air terjun menggunakan peralatan bertali. Aktiviti pengembaraan lasak sudah pasti mencabar ketahanan fizikal dan mental, selain menuntut keberanian serta keyakinan diri yang maksimum.

​

Permukaan berbatu, sangat licin

​

Apabila memperkatakan mengenai waterfall abseiling atau canyonning, kepuasan dan cabarannya berganda apabila perlu 'melawan' kederasan air terjun, ketinggian yang hampir menegak serta permukaan berbatu yang sangat licin! Aktiviti waterfall abseiling sangat meletihkan kerana memerlukan banyak tenaga, tetapi kepada pengembara muda yang suka cabaran, sukan ini adalah cinta kedua mereka. Penulis pernah melakukan waterfall abseiling sebelum ini, tapi apabila berdepan cabaran Air Terjun Ulu Geruntum, terdetik juga perasaan gementar sebaik saja simbahan ganas air terjun itu membasahi muka dan dada. Tangan yang diterjah air perlu kuat untuk mengawal tali dinamik, selain memastikan kelajuan badan ketika jatuh, kaki masih berpijak di permukaan batu. Sedikit kelalaian, tergelincir adalah perkara lazim!

 

Ketika melakukan waterfall abseiling di Air Terjun Ulu Geruntum, penulis ditemani Pengarah Eksekutif, Hikers Climber Adventure Team Sdn Bhd (HCAT), Ahmad Hafiz Ismail, 31, yang banyak memberi kata-kata nasihat dan semangat supaya penulis berjaya turun ke dasar air terjun dengan selamat.

Ini kerana, dasar Air Terjun Ulu Geruntum bukan kolam yang mempunyai kedalaman air pada paras tertentu hingga membolehkan peserta melepaskan karabiner daripada harness, lalu terjun. Sebaliknya dasar air terjun itu adalah permukaan berbatu. Sebaik kaki mencecah dasar, limpahan air terjun ke atas badan tersangat ganas hingga sukar untuk berdiri dan bernafas. Penulis perlu berpaut pada tali dinamik untuk berjalan ke dinding air terjun.

Geruntum1.png
Geruntum3.png
Geruntum4.png
Geruntum2.png
telegram subscribe.png

For more info, fastest news, latest updates and instant deal promo !

Subscribe to our Telegram Channel.

All Rights Reserved |

© 2022 by Media Unit of Hikers Climber Adventure Team

bottom of page