These articles published in the Malay language
Panjat air terjun beri kepuasan berganda
Oleh Zubir Mohd Yunus - April 19, 2015
​
AKTIVITI pengembaraan lasak, menakik batu atau lebih mudah dikenali sebagai abseiling adalah sukan ekstrem yang mencabar ketahanan fizikal dan mental, selain menuntut keberanian serta keyakinan diri yang bukan sedikit. Namun, apabila memperkatakan mengenai waterfall abseiling atau canyonning, kepuasan dan cabarannya berganda apabila perlu 'melawan' kederasan air terjun, ketinggiannya serta permukaan berbatu yang sangat licin. Aktiviti lasak seperti ini memang meletihkan kerana memerlukan banyak tenaga, tetapi ia memang digemari, khususnya pengembara muda yang suka cabaran. Pepatah Melayu ada menyebut, tak kenal maka tak cinta. Justeru, saya menyahut cabaran beberapa teman, merasai pengalaman mengujakan di air terjun Sungai Pisang. Lokasinya hanya di Batu 12, Gombak, Selangor, terletak kira-kira 20 kilometer dari Kuala Lumpur. Turut serta ialah sekumpulan jurulatih profesional daripada Hikers Climber Adventure Team Sdn Bhd, Shah Alam.
​
Tempat pertemuan kami ialah di Muka Sauk, Gombak. Selepas memastikan semua peralatan lengkap, kami perlu berjalan merentas hutan hampir sejam sebelum tiba di air terjun Sungai Pisang. Laluannya berbatu dan berbukit, selain merentasi beberapa anak sungai yang kedalamannya pula tidak menentu. Laluan bertambah sukar apabila akar kayu yang saiznya sebesar lengan berselirat di sepanjang perjalanan. Mengatur langkah berhati-hati supaya kaki tidak tersangkut pada akar berkenaan. Apabila berdepan situasi pokok tumbang di tengah perjalanan, saya diuji dengan ketahanan fizikal apabila perlu memanjat sambil memikul beg galas dengan muatan berat. Lama tidak bersenam, kaki jadi lenguh dan peluh memang sudah membasahi baju. Tapi puas dan seronok apabila dapat menatap keindahan air terjun Sungai Pisang dengan ketinggian kira-kira 40 meter, bersamaan ketinggian bangunan enam tingkat.
​
Percikan dan kederasan airnya sangat ganas. Saya dipelawa untuk memanjat air terjun menggunakan tali. Kecut perut apabila membayangkan diri tergantung di tengah-tengah air terjun itu ketika melakukan waterfall abseiling. Menyedari tahap kemampuan diri, saya menolak pelawaan itu. Namun jurugambar, Mohd Khairul Helmy selamba saja memanjat dan bergayut di tengah-tengah air terjun sambil memetik kameranya. Saat menyeronokkan apabila saya turut bermalam dalam khemah bersama-sama kumpulan aktiviti lasak ini. Bunyi cengkerik dan deruan air terjun melatari suasana malam, sambil berbual-bual. Cukup tenang. Walaupun tidak menyertai aktiviti waterfall absiling atau memanjat air terjun ini, saya tetap berasa puas dan seronok kerana ia adalah percutian yang penuh cabaran. Soal kepenatan berjalan selama sejam bukan masalah besar kerana sudah sedia maklum itulah namanya aktiviti pengembaraan lasak. Mungkin tidak cukup lasak, tetapi saya tetap puas.
​
Pengarah Operasi, Hikers Climber Adventure Team, Ahmad Nazri Ismail berkongsi pengalamannya apabila berdepan dengan pelatih baharu, kali pertama melakukan waterfall abseiling. Perasaan takut, cemas dan fobia dengan ketinggian adalah lumrah kepada pelatih baharu. Namun, Ahmad Nazri mempunyai kaedah tersendiri iaitu pembelajaran melalui pengalaman yang lazimnya digunakan untuk memupuk pembangunan modal insan.
​
Kaedah PEE iaitu people (orang), equipment (kelengkapan) dan environment (persekitaran) perlu dijelaskan kepada pelatih ketika sesi taklimat. "Kita perlu tahu siapa pelatih berkenaan, keadaan dan sejarah kesihatannya, latar belakang pendidikan serta kekuatan fizikal mereka seperti tangan, adakah mereka kidal atau normal. "Selain itu, kita perlu tahu adakah pelatih itu fobia dengan ketinggian. Apabila semuanya jelas, baru mudah kita membangunkan keyakinan pelatih. Jurulatih pula wajib mempunyai kelayakan. Peserta perlu yakin dengan kemampuan jurulatih," katanya. Seterusnya peralatan yang digunakan seperti karabiner, tali dinamik, harness atau abah-abah, topi keselamatan, sarung tangan dan belay device, termasuk figure of 8, perlu berada dalam keadaan baik. "Bagi memastikan keselamatan pelatih berada pada tahap maksimum, khidmat top belay dan bottom belay memainkan peranan penting. Keselamatan pelatih atau peserta adalah keutamaan kami.
​
"Begitu juga dengan persekitaran atau environment. Jika waterfall abseiling, permukaan batu air terjun pasti licin, kederasan air, faktor cuaca seperti musim tengkujuh, jurulatih perlu memastikan kepala air datang dari arah mana. Kedalaman air di kawasan itu, perlu diambil kira. Semua ini penting untuk memastikan keselamatan peserta. Tak boleh ambil mudah," kata Ahmad Nazri yang juga seorang guru di Shah Alam. Apabila semuanya dipraktikkan dengan sempurna sebelum melakukan waterfall abseiling, insya-Allah peserta akan mendapat pengalaman berharga dalam keadaan selamat dan menyeronokkan. Ia sekali gus mengatasi ketakutan, menghilangkan fobia ketinggian, selain meningkatkan keyakinan diri.
​




